Tabung Haji

Lembaga Tabung Haji (TH) adalah sebuah badan berkanun yang tertakluk di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535). Aktiviti utama TH ialah pengurusan haji, tabungan dan pelaburan. TH bertekad untuk menyediakan perkhidmatan haji yang cemerlang kepada Jemaah Haji Malaysia dan rekodnya yang konsisten telah mendapat pengiktirafan dunia sebagai model pengurusan haji yang inovatif.

TH merupakan sebuah institusi Islam yang sentiasa berusaha untuk menyediakan pelbagai kemudahan secara komprehensif dan sistematik demi kebajikan Jemaah Haji Malaysia. Selain dari pengurusan simpanan yang halal dan pengurusan haji yang efisien, TH turut menjalankan aktiviti pelaburan bagi memberi nilai tambah kepada para pendeposit kami.

TH mempunyai sekitar sembilan (9) juta pendeposit dengan 107 cawangan dan lebih 10,000 titik sentuh di seluruh negara. TH juga mempunyai satu pejabat yang beroperasi di Jeddah, Arab Saudi di bawah bidang kuasa Konsulat Malaysia.