RGK: 6 dekad perjuangan dan pengorbanan, ukir nama sebagai pasukan khas disegani
Автор: Air Times News Network
Загружено: 2025-08-01
Просмотров: 6806
MERSING, 1 Ogos – Enam dekad bukanlah suatu tempoh yang singkat, sebaliknya ia sarat dengan perjuangan, pengorbanan, kejayaan dan cabaran yang telah mengukir nama Rejimen Gerak Khas (RGK) sebagai pasukan khas yang disegani.
Pengerusi Rejimen Gerak Khas, Mejar Jeneral Ahmad Shuhaimi Mat Wajab berkata, segala pengorbanan dan usaha berterusan telah membentuk RGK menjadi satu pasukan khas yang berprestij, dihormati serta menjadi lambang ketangkasan dan kepakaran dalam melaksanakan operasi khas.
Menurut Ahmad Shuhaimi, sejak penubuhannya pada 1 Ogos 1965, Gerak Khas telah menjalani transformasi luar biasa.
“Bermula dengan sebuah unit kecil pasukan khas yang menentang konfrontasi dan insurgensi, kini menjadi pasukan khas moden yang mampu beroperasi di semua domain iaitu darat, laut, udara, malah ruang siber (CEMA),
“Perjalanan selama enam dekad ini ditempuh dengan semangat yang tidak pernah luntur. Legasi dan pencapaian gemilang generasi terdahulu telah membina tradisi kecemerlangan yang terus diwarisi hingga ke hari ini,
“Memang benar, mempertahankan kejayaan adalah satu cabaran yang amat sukar. Namun, saya yakin, budaya kecemerlangan yang telah sebati dalam jiwa dan sanubari setiap anggota Gerak Khas akan terus melahirkan pasukan yang menang dengan penuh keunggulan dan andai kalah sekalipun, tetap tewas dengan penuh maruah dalam setiap medan yang dipertandingkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Sambutan Jubli Intan sempena Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-60, di Kem Iskandar Mersing, hari ini.
Tegasnya, walaupun legasi terdahulu telah membentuk kekuatan generasi masa kini, kebergantungan sepenuhnya kepada kejayaan-kejayaan silam boleh menjadi anjakan radikal dan keluar daripada pemikiran legasi bagi membina angkatan masa hadapan yang lebih unggul.
Sehubungan itu, beliau yang juga Panglima 21 Gerup Gerak Khas (GGK), menyeru seluruh warga Gerak Khas agar terus memperkukuh kekuatan fizikal, minda, jiwa dan penguasaan teknologi dalam menghadapi cabaran dunia moden.
“Hari ini, dunia tidak lagi berdepan dengan ancaman dari satu arah, malah akan berdepan peperangan hibrid dan pelbagai domain, ancaman pengganas dan serangan siber yang semakin maju,
“Justeru, kita mesti bersedia bekerjasama dan berusaha untuk melahirkan perajurit komando yang bukan sahaja kuat fizikal, tetapi juga pemikir strategik dan menguasai teknologi terkini,
“Ia bermaksud persediaan yang menyeluruh dan holistik, agar tiada musuh yang berani mencabar kedaulatan negara kita,” tegasnya lagi.
Pengerusi Rejimen Gerak Khas menerima tabik hormat dari detasmen yang melintasi pentas hormat. Foto: AirTimes/N.Huda
Terdahulu, seramai 18 pegawai dan 173 anggota telibat dalam perbarisan tempur yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Rejimen 22 Komando, Kolonel Mohd Nizam Moladi.
Turut hadir, Ketua Staf AM 21 GGK, Brigedier Jeneral Samsyawal Muhamad dan Ketua Staf Perkhidmatan 21 GGK, Brigedier Jeneral Mohd Mus Yadi Abdul Mutalib serta warga Gerak Khas.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #gerakkhas #RGK #GGK #komando #Malaysia
Доступные форматы для скачивания:
Скачать видео mp4
-
Информация по загрузке: